fbpx

Beruk mengganas ancam penduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAIDI menunjukkan atap rumah penduduk yang dirosakkan kumpulan beruk liar di Kampung Mungkal, Rembau baru-baru ini.

REMBAU – Penduduk di Kampung Mungkal di sini dan beberapa buah kampung berhampiran berasa bimbang dengan keha­diran puluhan ekor beruk sejak lebih tiga tahun lalu sehingga mengancam kehidupan mereka.

Seorang penduduk, Zaidi Baharuddin, 51, berkata, sebelum ini hanya terdapat monyet serta kera di perkam­pungan mereka.

“Bagaimanapun, kehadiran be­ruk berkenaan sejak beberapa tahun lalu bukan sahaja menggangu kehidupan penduduk, ma­lah merosakkan rumah.

“Saya yang meng­ambil upah kerja-kerja kampung telah membaik pulih sebanyak empat buah rumah penduduk apabila bumbung kediaman mereka rosak ‘dikerjakan’ oleh beruk-beruk yang melompat-lompat serta me­ngangkat atap kediaman penduduk,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurutnya, pokok buah-buahan pun ba­nyak yang terpaksa ditebang.

“Mereka tidak mahu pokok berkenaan menarik kehadiran beruk yang lebih agresif berbanding monyet serta kera. Lagi-lagi jika kanak-kanak, tentulah penduduk bimbang akan kese­lamatan mereka,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Ain Hussin, 55, berkata, dia baru kembali menetap di kampung sejak empat tahun lalu dan masalah berke­naan menyebabkan dia mengubah suai rumahnya.

“Ini untuk menutup lubang di bahagian dapur bagi mengelakkan binatang berkenaan masuk ke dalam rumah.

“Dalam kejadian baru-baru ini, atap rumah­ saya pecah setelah seekor beruk tunggal bersaiz agak besar melompat di atasnya,” katanya.

Dia berharap masalah itu akan dapat segera diatasi kerana kehadi­ran beruk kini semakin menjadi-jadi dan sering bergerak dalam jumlah yang besar.

“Sejak duduk di sini, saya sudah mengupah orang untuk menebang tiga pokok rambutan, sebatang pokok mangga dan sebatang pokok nangka kerana tidak mahu beruk bertumpu ke rumah saya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Ja­ba­tan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Wan Mat Wan Harun berkata, pihaknya telah mene­rima aduan ber­kenaan dan sedang menjalankan siasatan.

“Tindakan bersesuaian akan diambil selepas siasatan dijalankan,” ujar beliau.

Pada 17 Februari lalu, Kosmo! melaporkan seorang wanita war­ga emas, Zaiton Md. Jidin, 65, dikejarkan ke Hospital Rembau selepas mengalami kecederaan parah diserang serta digigit se­ekor beruk tunggal di Kampung Chuai Hilir di sini. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI