KUALA LUMPUR – Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemui di hadapan sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, satu laporan telah dibuat oleh anggota yang bertugas di Taman Tun Control Center, Balai Polis TTDI berhubung penemuan bayi terbabit pada pukul 9.15 pagi tadi.
“Pihaknya menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki warga tempatan yang memaklumkan telah menemui seorang bayi lelaki yang masih hidup di hadapan sebuah rumah.
“Siasatan awal mendapati, bayi yang baru dilahirkan itu berada dalam keadaan cukup sifat dan ditemui dalam plastik yang diletakkan di hadapan rumah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, semakan pemilik rumah telah dibuat dan bayi tersebut telah dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur bagi tujuan pemeriksaan kesihatan.
“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan penemuan bayi lelaki ini diminta hadir ke balai polis yang berdekatan untuk memberi keterangan,” jelasnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929