JAKARTA – Sebuah ‘teksi terbang’ dari jenis kenderaan udara autonomi model EHang 216 akan dipandu uji di Bali Oktober ini bagi menjadikannya satu lagi daya tarikan di pulau pelancongan itu, lapor laman berita Detik.com semalam.
Teksi terbang itu buat masa ini berada di bilik pameran Prestige Image Motorcars di Jakarta Utara selepas diperkenalkan secara rasmi dalam acara Pameran Motor Antarabangsa Indonesia Hibrid 2021 pada April lepas.
“Mengikut perancangan, EHang 216 akan dipandu uji di Bali pada Oktober ini. Buat masa ini, kami masih menguruskan prosedur kelulusan permit terbang dan lain-lain,” kata Presiden Pengarah Prestige Image Motorcars, Rudi Salim.
Tambah Rudi, faktor utama aktiviti pandu uji teksi terbang itu ingin dilakukan di Bali adalah kerana kedudukan pulau tersebut sebagai pusat pelancongan berkelas dunia yang mampu memberikan impak lebih besar.
“Menurut perancangan, kami ingin meningkatkan aktiviti pelancongan di Bali dengan produk ini dan impaknya mungkin bukan sekadar di peringkat negara, malahan antarabangsa,” jelasnya.
EHang 216 mampu membawa muatan maksimum 220 kilogram dengan kelajuan 130 kilometer (km) sejam.
Dron tersebut menggunakan 100 peratus kuasa elektrik bagi mengurangkan pencemaran alam sekitar yang disebabkan oleh pelepasan asap.
Ia juga dapat menempuh jarak perjalanan sejauh 25 km dengan muatan maksimum dalam masa 21 minit serta boleh terbang setinggi 3,000 meter.
EHang 216 dilaporkan sesuai untuk digunakan sebagai pengangkutan moden untuk penduduk di bandar. – Agensi