PETALING JAYA – Seorang lelaki yang kerap memakai baju Melayu yang sama setiap hari Jumaat tular di media sosial dan menarik perhatian ramai baru-baru ini.
Dalam perkongsian menerusi satu video di laman Tiktok yang dikongsikan @teheuiss, dia telah menjawab soalan sesetengah pihak mengapa kerap memakai baju yang sama apabila menunaikan solat Jumaat sebelum ini.
Menerusi perkongsian itu, @teheuiss berkata, sebenarnya baju berkenaan adalah baju terakhir arwah adiknya ketika hari raya sebelum meninggal dunia akibat kanser sekitar tahun 2019.
“Sebenarnya baju Melayu itu adalah baju terakhir arwah adik ketika hari raya sebelum meninggal dunia kerana kanser.
“Jadi, dengan pakai baju itulah sebagai salah satu cara untuk menyatakan rasa rindu terhadap adik saya,” katanya di dalam video itu.
Bagaimanapun, perkongsian itu mengundang rasa sebak orang ramai dengan rata-rata mereka memberikan kata-kata semangat buat dirinya.
“Ikatan adik-beradik ini sangat kuat, moga dia tenang di sana amin,” kata @ItsHelmie.
“Peritnya hilang orang kita sayang, macam itulah saya rasa apabila kehilangan adik sendiri,” jelas @AbamJeyy
“Saya harap awak sentiasa bersabar, dia sudah ada dalam syurga,” ujar @ndhzm__
Sehingga kini, video tersebut meraih lebih 1.4 juta tontonan dan 178,800 tanda suka di TikTok. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929