fbpx

Anak diserang penyakit misteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LATIFAH bersama Nur Amira yang menghidap penyakit misteri ketika ditemui di Kampung Tampok Darat, Benut, Pontian baru-baru ini.

PONTIAN – Seorang ibu tunggal di Kampung Parit Tampok Darat, Benut di sini, tidak pernah me­nyalahkan takdir yang me­nimpa anak sulungnya kerana masih berkelakuan seperti seorang kanak-kanak walaupun sudah berusia 28 tahun.

Latifah Abd. Latiff, 56, berkata, nasib malang yang menimpa anaknya, Nur Amira Abd. Maring itu berlaku ketika dia sedang belajar pada tahun satu di sebuah sekolah rendah di Kulai.

Ketika itu, katanya, Nur Amira berusia tujuh tahun dan hanya sempat belajar selama tiga bulan sebelum diserang penyakit misteri.

“Penyakit aneh ini menyebabkan anak saya tiba-tiba berubah, dia tidak mampu bercakap dan pertumbuhannya juga terencat.

“Nur Amira pernah menjadi bisu selama setahun setengah dan kesannya sehingga ke hari ini. Saya hanya memahami reaksi yang ditunjukkan melalui memek mukanya sahaja.

“Pelbagai rawatan termasuk kaedah tradisional dilakukan di merata tempat untuk mengubati penyakit Nur Amira, namun masih gagal,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Tampok Darat, Benut di sini baru-baru ini.

Latifah memberitahu, suaminya, Abd. Maring Suradi telah meninggal dunia pada usia 34 tahun pada 2001 setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Ujarnya, sebagai ibu tunggal, dia terpaksa melakukan apa juga pekerjaan untuk menyara ke­luarga.

“Saya pernah bekerja di beberapa tempat termasuk be­kerja sebagai pembersih di kilang santan kelapa dan kedai makan. Semuanya saya lakukan untuk anak-anak.

“Selain Nur Amira, dua lagi anak saya, Muhammad Amirul, 23, kini bekerja di Shah Alam dan Muhammad Azizul, 22, pula be­kerja di Restoran Makanan Segera di Batu Pahat,” ujarnya.

Latifah berkata, bantuan sebanyak RM300 yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan RM400 daripada Baitulmal digunakan untuk membeli lampin pakai buang Nur Amira serta perbelanjaan lain.

Ujarnya, dalam seminggu, Nur Amira yang tergolong dalam golongan orang kelainan upaya (OKU) memerlukan tiga atau empat beg lampin pakai buang yang dianggarkan 12 beg sebulan de­ngan kos keseluruhan RM200.

Orang ramai yang bersimpati dengan keluarga ini boleh meng­hubungi Latifah di talian 011-55364010 di Kampung Tampok Darat, Benut atau menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 01125-41-00001738-1. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI