ATLET boccia negara, Chew Wei Lun hampir melakar kejutan apabila memenangi pingat perak dalam acara campuran individu BC1 yang berlangsung di Pusat Gimnastik Ariake semalam.
Turun menentang pemain No.1 dunia dari Britain, Adam Smith langsung tidak menggusarkan Wei Lun apabila memberi tentangan sengit sebelum tewas 2-4 (2-0, 0-1, 0-1, 0-2).
Biarpun tewas, namun atlet berusia 26 tahun itu mengejutkan Smith pada awal saingan apabila mendahului 2-0 pada set pertama sebelum lawannya itu melakukan kebangkitan dalam tiga set berikutnya.
Ketua kontinjen Malaysia di Tokyo, Datuk Megat D. Shahriman menganggap pencapaian yang dilakukan Wei Lun sesuatu yang istimewa kerana dia tidak diletakkan sebagai prospek pingat pada edisi kali ini.
“Alhamdulillah, kejayaan Wei Lun merupakan satu kejutan dan sukan itu sendiri. Walaupun ini adalah penampilan pertama pada Paralimpik, namun dia menunjukkan aksi cemerlang.
“Kita dapat lihat sendiri juara dunia (Smith) juga terkejut dengan aksi yang dipamerkan Wei Lun,” kata beliau.
Atlet yang diberikan gelaran ‘silent killer’ oleh Megat itu melakar beberapa kejutan pada temasya kali ini termasuk menewaskan pemain No.2 dunia dari
Thailand, Witsanu Huadpradit di peringkat kumpulan serta menyingkirkan pemenang pingat perak Rio 2016 dari China, Zhang Qi pada suku akhir.
Megat percaya Malaysia masih berpeluang untuk menuai lebih banyak pingat emas di Tokyo menerusi beberapa atlet lain yang akan beraksi selepas ini.