JAKARTA – Seorang wanita di Bandung Barat, Indonesia mendedahkan tidak mampu melelapkan mata pada waktu malam seperti individu normal sejak tujuh tahun lalu, lapor laman berita Suara.com, semalam.
Cucu, 45, berkata, dia mula hilang rasa mengantuk pada tahun 2014 hingga akhirnya melarat dan menjadikannya berjaga selama tujuh tahun.
Wanita anak dua itu turut memberitahu dia sudah menjalani pelbagai rawatan tradisional dan moden untuk mengubati masalahnya namun gagal.
“Saya pernah dirujuk ke sebuah hospital daerah di Bandung Barat namun doktor gagal mengesan punca penyakit ini.
“Akhirnya doktor memberikan saya ubat tidur namun ia hanya berkesan untuk jangka masa pendek dan saya akan terbangun sebaik sahaja kesan ubat habis,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pakar Psikologi Hospital Cikalongwetan, Dr. Zulfitriani berkata, situasi yang dialami Cucu sangat unik dan memerlukan kajian lebih lanjut.
“Kejadian ini jarang berlaku jadi pihak kami perlu meminta Cucu untuk datang dan menceritakan keadaannya secara terperinci bagi menentukan apakah rawatan yang paling sesuai,” jelasnya. – Agensi