Saban hari, tugas pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia semakin mencabar dan bertambah.
Selain menangkap pencuri dan perompak, polis turut melaksanakan banyak sekatan jalan raya (SJR) serta melakukan pemantauan pencegahan Covid-19 di lokasi tumpuan awam.
Sepanjang tugasan, mereka terpaksa berdepan dengan pelbagai kerenah dan ragam sebahagian rakyat Malaysia yang sengaja menyulitkan lagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Mereka yang ingkar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bukanlah yang memiliki rekod jenayah, sebaliknya hanya rakyat biasa.
Tetapi golongan ini ada sahaja idea serta taktik licik untuk mengelakkan diri daripada dikesan melanggar SOP dan dikenakan tindakan.
Salah guna pas pekerja, surat pengesahan majikan serta surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri antara taktik lama yang kerap digunakan untuk merentas daerah dan negeri.
Mungkin sampai sekarang taktik itu digunakan. Sebab itu, polis terpaksa melakukan pemeriksaan lebih teliti di SJR. Natijahnya, kenderaan berbaris panjang dan menyusahkan pengguna lain dek kerana wujud segelintir si penipu ini.
Ketika ini, sijil yang paling dikehendaki rakyat Malaysia terutama golongan antivaksi adalah sijil digital vaksinasi lengkap.
Mahu makan di restoran, gunting rambut, cuci kenderaan, berkunjung ke pusat beli-belah, merentas daerah dan banyak lagi, semuanya memerlukan sijil digital itu.
Yang menjadi masalah apabila pengusaha restoran misalnya tidak memeriksa sijil digital terlebih dahulu sebelum membenarkan pelanggan masuk.
Baru-baru ini, tular di media sosial kisah sepasang suami isteri bersama anaknya yang memasuki beberapa kedai serta makan di restoran walaupun tidak lengkap dua dos suntikan vaksin.
Pasangan suami isteri terbabit menyifatkan tindakan itu sebagai eksperimen sosial untuk melihat sejauh mana individu yang tidak mengambil vaksin boleh bebas melakukan apa sahaja.
Walaupun pasangan itu akhirnya ditangkap polis, namun tindakan mereka menunjukkan sikap pengusaha restoran yang turut tidak mematuhi arahan kerajaan.
Takkan setiap hari, polis, tentera, Jabatan Sukarelawan Malaysia atau penguat kuasa lain perlu ‘menyerbu’ restoran, kedai gunting atau premis cuci kenderaan semata-mata mahu memastikan rakyat Malaysia mematuhi arahan.
Ini tidak termasuk lagi cubaan pihak tertentu yang mahu memalsukan sijil digital, lagilah menyusahkan pihak berkuasa untuk mengesan mereka yang terlibat.
Kedegilan untuk mematuhi SOP tidak kira bangsa, agama dan kaum, usia muda atau tua, berpangkat ataupun golongan marhaen.
Selagi tiada polis di SJR atau pihak berkuasa lain di sekeliling, selagi itulah rasa diri bebas. Kita boleh elakkan diri dan perdaya pihak berkuasa, tetapi bukan koronavirus.- K! ONLINE