PETALING JAYA – Bahagian Komunikasi Korporat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan taklimat media secara dalam talian kepada seluruh pusat tanggungjawab (PTj) dan fakulti universiti itu hari ini.
Pengarahnya, Prof. Madya Dr. Mohd. Izwan Shahril berkata, inisiatif itu dilaksanakan sebagai salah satu pelan strategik menampilkan PTj UPSI dalam media massa dengan lebih menyeluruh.
“Sebagai universiti pendidikan nombor satu adalah penting untuk UPSI tampil sebagai pusat pengajian yang memperkasa penyaluran maklumat kepada khalayak dengan pantas, tetapi beretika.
“Sesuai dengan peranannya menjana dan menatar ilmu menerajui pengajaran, penyelidikan, penerbitan, perundingan dan khidmat masyarakat dalam konteks pembangunan insan untuk mencapai wawasan negara,” katanya pada ucapan pembukaan taklimat media tersebut.
Taklimat yang berlangsung hampir tiga jam itu disampaikan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Dr. Ghazali Din yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI.
Beliau menyampaikan taklimat mengenai keperluan penulisan berita di peringkat PTj untuk melestarikan penyampaian maklumat dengan lebih berkesan kepada seramai 50 peserta.
Mohd. Izwan berkata, selaras dengan perkembangan teknologi, maklumat tentang pencapaian UPSI harus dikongsi dengan capaian segera untuk maklumat awam.
Menurut beliau, selain berita arus perdana, laporan berita yang sumbangkan oleh pegawai PTj dikenali sebagai pegawai Umedia akan turut dimuatkan dalam kandungan portal berita e-pena dan portal berita rasmi UPSI.
“Pegawai-pegawai yang datang daripada pelbagai latar belakang jabatan universiti didedahkan dengan kaedah penulisan yang berkesan seperti mengenal pasti isu, masalah dan peluang selain didedahkan format penulisan berita dengan tepat dan berkesan serta menepati keperluan penerbit berita dan selera pembaca,” jelasnya.
Pegawai Penerbitan Pusat Alumni UPSI, Muhammad Zafir Mohd. Saman pula berkata, program itu dapat membantu pegawai UPSI untuk menyerlahkan program-program berkaitan PTj. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929