fbpx

TDM sahkan anggota hilang telah ditemui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
OPERASI mencari dan menyelamat Mohamad Azrin yang dipercayai terjatuh semasa Eksesais Para Predator di Sungai Pahang kelmarin.

PETALING JAYA – Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan penemuan jasad seorang anggotanya yang sebelum ini dipercayai lemas ketika menjalani latihan penyusupan menyeberangi Sungai Pahang di Kawasan Am, Bera, Pahang Ahad lalu.

Sel Perhubungan Raya Tentera Darat menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya menerima maklumat penemuan jasad Allahyarham Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa pada pukul 8.15 pagi tadi.

“Jasad Allahyarham yang merupakan anggota Tinjau dari pasukan Kompeni PANDURA (Para) telah ditemui oleh orang awam di kawasan Kampung Serengkam, Maran, Pahang kira-kira 70 Kilometer dari lokasi kejadian.

“TDM merakamkan penghargaan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 2 Pahang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), penduduk kampung serta agensi yang telah membantu secara langsung dan tidak langsung dalam melaksanakan Operasi Mencari dan Menyelamat,” ujar kenyataan itu.

Katanya, pihak TDM turut menzahirkan ucapan takziah buat isteri Allahyarham iaitu Nor Aqila Syafiqa Safuan serta seluruh ahli keluarganya malah akan menghulurkan bantuan sewajarnya dari segala aspek dalam memastikan kebajikan keluarga tersebut.

“Perkembangan berkenaan pengurusan jenazah Allahyarham akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“TDM turut berharap agar masyarakat tidak menyebarkan gambar-gambar penemuan jasad Allahyarham bagi menjaga perasaan waris mangsa yang terlibat,” ujar kenyataan itu.

Terdahulu, Kosmo! Online pada 30 Ogos lalu melaporkan seorang anggota tentera yang terlibat dalam latihan Eksesais Para Predator di pesisir Sungai Pahang berhampiran Kampung Batu Bor di sini dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Pahang. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI