fbpx

Satu persatu wad Covid-19 ditutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Seorang doktor di sebuah hospital berkongsi jumlah pesakit yang dirujuk untuk kemasukan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) sudah tidak seramai seperti sebelum ini dan pihaknya tidak perlu lagi memilih siapa yang perlu didahulukan untuk diberi rawatan.

Pakar bius dikenali sebagai Dr. Hana Hadzrami menerusi laman Facebook miliknya berkata, wad yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19 telah mula ditutup satu persatu dengan pesakit bukan Covid-19 yang selama ini menumpang di wad sementara telah kembali ke wad asal.

“Jumlah pesakit yang dirujuk untuk kemasukan ICU masih ada, namun tidak seramai sebelumnya. Kami sudah tidak perlu pilih. Boleh terima semua. Ia amat melegakan.

“Namun menyedihkan apabila tetap ada sebilangan kecil warga emas dan golongan berkomorbid yang keciciran vaksin fasa kedua.

“Semuanya terdiri daripada mereka yang dahulunya ragu-ragu untuk menerima vaksin dan mahu melihat kesan kepada orang lain dulu. Sesal kemudian yang tiada guna,” tulisnya hari ini.

Begitupun, sejumlah enam wad ICU Covid-19 di hospital tempatnya bertugas masih berfungsi penuh dan belum ada yang boleh ditutup dengan sebahagiannya telah diubah menjadi ‘off-tag’ Covid-19 iaitu ICU untuk pesakit Covid yang telah melepasi tempoh infektiviti 21 hari namun masih berada dalam keadaan kritikal.

Beliau berkata, pesakit Covid Kategori 5 tidak boleh sembuh dalam tempoh singkat serta ada yang sudah melebihi sebulan tetapi masih perlu bergantung kepada mesin pernafasan dengan hampir semua yang belum sembuh terdiri daripada mereka yang belum divaksinkan.

“Sekarang jika kami terima pesakit yang divaksinkan ke ICU (lengkap atau tak lengkap) untuk Kategori 4 dan ke atas, terasa sedikit lega. Kerana mereka memberi respons yang sangat cepat kepada rawatan.

“Majoriti hanya perlu sokongan oksigen paling tinggi melalui HFNC (alat bantuan pernafasan kanula hidung aliran tinggi) dan itu pun hanya sementara. Cepat boleh kami discaj. Tinggi harapan agar sekelumit cahaya ini dapat bersinar cerah,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan warga Lembah Klang supaya terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan melengkapkan imunisasi masing-masing.

“Usah padamkan cahaya yang baru mula berputik. Kita hanya selamat apabila semua selamat,” katanya.- K! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI