fbpx

Robot kucing bantu hantar makanan kepada pesakit di wad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BELLABOT yang didatangkan khas dari China ini bertugas di wad pediatrik di SMC sebagai penghantar makanan.

PERKEMBANGAN dalam bidang teknologi semasa menyaksikan pelbagai inovasi dibangunkan demi memudahkan urusan manusia.

Pusat Perubatan Sunway (SMC) tidak ketinggalan untuk turut menggunakan inovasi terkini dalam industri penjagaan kesihatan di Malaysia.

Untuk itu, SMC memperkenalkan empat robot autonomi BellaBot atau robot kucing yang bertugas di wad pediatrik dan didatangkan khas dari China.

BellaBot menjadi robot pertama seumpamanya menyertai operasi hospital di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Sunway, Bryan Lin berkata, pihaknya amat berbesar hati menjadi hospital pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi BellaBot bagi mencerikan pesakit di situ.

“Kejayaan ini juga hadir tepat pada masanya selepas diiktiraf sebagai Syarikat Hospital Pintar Tahun 2021 oleh Frost & Sullivan dua bulan lalu.

“Dalam menghadapi cabaran Covid-19, kami komited untuk terus mencari kaedah inovatif bagi meningkatkan pengalaman pesakit, di samping mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan mereka,” katanya.

ROBOT BellaBot bertugas menghantar makanan kepada pesakit di wad tiga kali sehari.

Menurut beliau, potensi BellaBot sangat besar dan kehadiran teknologi pintar seperti itu dapat membantu kakitangan di SMC memberi perhatian terhadap penjagaan pesakit serta memenuhi lonjakan kapasiti ketika keperluan memuncak.

Ini sekali gus dapat meningkatkan kecekapan operasi secara keseluruhannya.

Dalam pada itu, robot canggih itu bertanggungjawab membantu menghantar makanan tiga kali sehari kepada pesakit kanak-kanak dan penjaga mereka untuk hidangan makan tengah hari, minum petang dan makan malam.

BellaBot mempunyai rak empat tingkat untuk menempatkan dulang makanan serta dilengkapi dengan fungsi penghantaran yang boleh disesuaikan.

Di samping itu, ia mempunyai sistem navigasi bagi membolehkannya bergerak dengan selamat di sekitar wad.

Apabila tidak bertugas menghantar makanan, BellaBot mampu memberikan keceriaan kepada pesakit melalui fungsi ‘mod hari jadi’.

Dalam hal ini, robot itu akan menghantar kek hari jadi sambil diiringi lagu yang sungguh menghiburkan untuk menceriakan suasana.

Selain bertugas di wad pediatrik, BellaBot juga dapat dilihat di lobi hospital sebagai ‘duta’ untuk membantu pelawat mencari arah di sekitar hospital itu yang pada masa ini semakin besar.

Buat masa sekarang, robot canggih ini dikendalikan dalam dua bahasa iaitu bahasa Inggeris dan Mandarin.

SELAIN wad pediatrik, robot BellaBot juga bertugas di lobi.

Potensi tersebut bakal ditambah kepada bahasa lain pada masa akan datang.

Sementara itu, Pengurus Perkhidmatan Makanan SMC, Joanne Leow menjelaskan, pasukannya mengalukan-alukan kaedah digital dalam mengendalikan perkhidmatan makanan.

Menurutnya, proses mengadaptasi robot ini juga dapat memenuhi keperluan hospital dan para pesakit.

“Kami sangat gembira disediakan kemudahan menggunakan BellaBot untuk menghantar makanan kepada pesakit di wad.

“Kini, BellaBot adalah sebahagian daripada pasukan kami.

“Kami berharap teknologi ini menjadi pemangkin ke arah lebih banyak inovasi dilakukan pada masa depan untuk menjaga pesakit dengan pengalaman serba baharu,” ulasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI