fbpx

Rindu ziarah kubur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.
SAIRUL ZAMRI MISRANI
WARTAWAN EKSEKUTIF

RINDU. Satu perkataan yang pa­ling berat untuk diungkapkan. Lebih berat jika kita merindui seseorang yang telah tiada.

Tiada di sini bukan bermaksud insan tersebut jauh di mata kita dek kerana terpisah di balik awan, tetapi tiada kerana dipisahkan oleh jasad dan nyawa.

Tidak kisahlah kita kehilangan bapa, ibu, anak, adik-beradik mahupun kenalan, rindu itu pasti bertamu tanpa mengira masa.

Bagi meleraikan perasaan rindu yang menggigit sanu­bari, zia­rah ke ‘rumah’ abadi merekalah cara terakhir dan satu-satunya yang kita ada.

Sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara bermula 12 Mei lalu, ziarah kubur turut dilarang dan sama sekali tidak dibenarkan termasuklah pada hari raya.

Pasti larangan tersebut bagaikan menjadi halangan dan sekatan utama bagi mereka yang se­ring ke tanah perkuburan untuk bertemu dan melepaskan rindu bersama insan yang disayangi.

Tetapi, apakan daya, tiada cara lain yang boleh dilakukan dalam usaha negara sedang bertarung habis-habisan melawan pandemik maut Covid-19 yang membadai hampir dua tahun ini.

Maka, hanya bingkisan doa mampu dititipkan buat ‘mereka’ sebagai pengganti diri yang tidak dapat hadir menjenguk dan ‘bertentang mata’ di tanah perkuburan seperti kebiasaan.

Pun begitu, sejak 28 Ogos lalu, seperti ada sedikit sinar selepas kerajaan membenarkan aktiviti ziarah kubur di luar musim pe­rayaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Memetik kenyataan Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Ke­selamatan Negara, Datuk Rodzi Md. Saad, aktiviti ziarah kubur di setiap negeri dibenarkan sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara, namun orang ramai perlu mematuhi segala SOP ditetapkan.

Menurut Rodzi, pihaknya tidak menetapkan sebarang SOP khusus kepada orang ramai untuk menziarahi tanah perkuburan.

“Sebelum ini, kita ada mewujudkan SOP ziarah kubur, namun ia dikaitkan ketika musim pe­rayaan seperti Aidilfitri dan Aidil­adha.

“Dalam keadaan luar perayaan pula, aktiviti ziarah kubur sebenarnya tidak menjadi satu isu dan dibenarkan,” katanya yang menegaskan keutamaan SOP merupakan perkara yang perlu diberi tumpuan sekiranya orang ramai mahu berbuat demikian.

Bagi Pengurus Unit Syariah dan Antarabangsa, Pusat Pu­ngutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan merangkap pendakwah bebas, Ustaz Ahmad Husni Abd. Rahman, kebenaran yang dibenarkan sedikit seba­nyak membuka semula ruang serta peluang mengubat rindu.

“Bercakap dalam konteks naluri dan emosi manusia, kebenaran dan kelonggaran yang diberikan pasti menjadi ubat serta terapi bagi mereka meleraikan rasa rindu.

“Kelapangan yang diberikan ini apapun perlu diikuti dengan pematuhan SOP yang digariskan. Lagipun hukum ziarah kubur bukan menjadi satu perkara wajib, namun sunat dilakukan,” ujarnya.

Tegas Ahmad Husni, ziarahlah ke kubur jika ada kelapangan dan keperluan selagi mana tidak mendatangkan kemudaratan pada diri sendiri serta orang lain di kemudian hari.

Kita tidak tahu, mungkin esok lusa, sekatan larangan tersebut kembali dilaksanakan dan dikuatkuasakan semula entah untuk beberapa purnama akan datang.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI