fbpx

PATI nekad terjun tasik elak ditahan Imigresen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang lelaki warganegara Ghana bertindak nekad terjun ke dalam tasik di belakang sebuah kelab komuniti di Cyberjaya, Selangor dalam usaha mengelakkan diri daripada ditahan pegawai operasi JIM.

PETALING JAYA – Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) bertindak nekad terjun ke dalam tasik di sebuah kelab komuniti di kawasan Cyberjaya, Selangor dalam usaha mengelakkan diri daripada ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hari ini.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1 tengah hari ketika sepasukan pegawai JIM dari Unit Operasi Khas (QRT) Putrajaya sedang melakukan pemeriksaan di kelab tersebut dalam satu siri operasi penguatkuasaan semasa cuti umum sambutan Hari Kebangsaan 2021.

“Sewaktu pemeriksaan ingin dilakukan ke atas dua lelaki warganegara Ghana yang dipercayai bekerja di kelab komuniti tersebut, seorang daripada mereka telah bertindak terjun ke dalam tasik yang terletak di belakang kelab tersebut.

“Tindakan membahayakan diri sendiri itu telah memaksa pegawai operasi untuk turut terjun ke dalam tasik bagi menahan warga asing berkenaan dan kedua-dua mereka ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen atau pas yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Khairul Dzaimee, operasi berkenaan melibatkan seramai 20 pegawai JIM dan dilakukan selama dua hari bermula semalam di sekitar Pudu, Kuala Lumpur dan Puchong serta Cyberjaya, Selangor.

“Dalam operasi yang dilakukan di Pudu, Kuala Lumpur semalam, seramai 63 individu telah diperiksa dan seramai 12 orang warga asing telah ditahan yang terdiri daripada lima wanita warga Vietnam dan tujuh lelaki Bangladesh.

“Operasi di Puchong, Selangor kira-kira pukul 1 pagi tadi pula telah memeriksa seramai 21 individu dan menahan 12 warga asing yang terdiri daripada lima lelaki Bangladesh, dan masing-masing seorang lelaki serta wanita Indonesia,” ujar beliau.

Tambah Khairul Dzaimee, jumlah keseluruhan warga asing yang berjaya dalam operasi berkenaan adalah seramai 26 orang dan seramai empat orang warga tempatan telah dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan.

“Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor untuk disiasat di atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” tegas beliau. -K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI