PEMAIN badminton para negara, Cheah Liek Hou akan turun buat kali pertama pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 apabila menentang pemain Mesir, Ahmed Eldakrory pada saingan Kumpulan B di Stadium Nasional Yoyogi hari ini.
Dia yang merupakan juara dunia enam kali dijangka tidak berdepan masalah mencatatkan kemenangan pertama dalam saingan peringkat kumpulan, sekali gus mencerahkan peluang mara ke separuh akhir perseorangan lelaki kategori SU5 itu.
Jurulatih skuad badminton para kebangsaan, Datuk Rashid Sidek menaruh sepenuh kepercayaan terhadap anak buahnya untuk menewaskan Eldakrory hari ini bagi mencapai sasaran awal muncul juara kumpulan.
“Untuk perlawanan pertama peringkat kumpulan B menentang pemain Mesir esok (hari ini), bagi saya tidak ada masalah untuk kita catatkan kemenangan berdasarkan prestasi Cheah sekarang.
“Memang kita sudah buat persiapan terbaik sebelum datang ke Tokyo dan untuk saingan awal ini, kita sasarkan Cheah mara ke separuh akhir sebagai juara kumpulan. Doakan kita berjaya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Liek Hou merupakan antara sandaran utama kontinjen negara untuk meraih pingat emas pada temasya sukan empat tahun sekali itu selepas memenangi Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Dubai serta Sepanyol sebelum ini.
Meskipun dianggap sebagai pilihan untuk menjuarai saingan Kumpulan B, namun Rashid berharap Liek Hou tetap berwaspada dengan ancaman yang mampu diberikan pemain tuan rumah, Taiyo Imai serta Fang Jen-yu dari Taiwan.
“Jika dilihat pada senarai pemain dalam Kumpulan B, saya lihat pemain Jepun (Imai) dan Taiwan (Jen-yu) boleh menggugat peluang Cheah untuk menjuarai saingan peringkat kumpulan. Saya harap dia berhati-hati dalam setiap perlawanan,” kata legenda badminton tanah air itu.