BANGI – Pemilik sebuah kedai emas di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi di sini menggunakan enam jurujual lelaki sepenuhnya sebagai usaha untuk meningkatkan aspek keselamatan di premis itu daripada kejadian tidak diingini.
Pengarah Urusan Emas SY Fawwaz di Bangi, Suhaida Yusoff berkata, kesemua jurujual itu bukan sahaja berpengetahuan mengenai emas, malah diberikan latihan keselamatan bagi memastikan mereka boleh bertindak dengan tepat sekiranya berlaku kejadian tidak diduga.
“Soal keselamatan merupakan antara aspek yang paling dititikberatkan. Selain penggunaan teknologi seperti televisyen litar tertutup, kami ambil pendekatan ini (jurujual lelaki).
“Setiap jurujual yang diambil kami akan pastikan mereka menepati kriteria tertentu, antaranya umur, ketinggian dimiliki serta fizikal,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Tambahnya, pekerja itu juga diberikan latihan khidmat pelanggan dan mengendalikan pelbagai promosi termasuk di media sosial seperti TikTok dan Instagram.
Menurut Suhaida, semua pekerjanya mematuhi prosedur operasi standard dan tidak akan berlaku sentuhan dengan pelanggan.
“Ada juga pekerja wanita yang ditugaskan untuk melayan pelanggan orang kenamaan dan menjaga media sosial,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Kedai Emas Ismail, Suhaimi Ismail tidak menafikan bahawa jurujual atau pekerja lelaki yang ramai di dalam sesebuah premis mampu mengurangkan risiko kedai tersebut dirompak.
“Bagaimanapun, dalam situasi seperti rompakan, mana-mana pekerja pun tanpa mengira jantina akan panik. Premis saya pernah dirompak pada 2016 dan ketika itu ada empat pekerja iaitu dua lelaki dan dua perempuan.
“Bezanya antara pekerja lelaki dan wanita, mungkin lelaki tidak mudah panik, lebih berani dan boleh menilai dengan cepat semasa suatu kejadian berlaku,” katanya.
Pada masa sama, katanya, dia tidak menolak idea untuk menambah bilangan pekerja lelaki di premisnya, namun bergantung kepada keadaan ekonomi semasa.
Sementara itu, jurucakap Kedai Emas UMI turut mengakui bahawa kehadiran pekerja lelaki meningkatkan aspek keselamatan di sesebuah premis perniagaan.
Katanya, di premis mereka sendiri turut menggunakan khidmat dua tukang emas lelaki, namun pihaknya tidak mempunyai perancangan untuk meningkatkan bilangan pekerja daripada jantina berkenaan.
“Sudah tentu dengan adanya lebih ramai pekerja lelaki akan membantu daripada sudut keselamatan, namun kami percaya lokasi kedai ketika ini iaitu di dalam Kompleks PKNS Bangi adalah selamat,” katanya. – K! ONLINE