fbpx

Larangan perisa vape dorong kembali merokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Langkah melarang penggunaan perisa dalam vape hanya akan menyebabkan lebih ramai pengguna vape yang telah berhenti merokok beralih semula kepada rokok tembakau dan menyekat fungsi vape sebagai alat yang boleh membantu perokok berhenti merokok.

Pusat Pilihan Pengguna (CCC) dan Perikatan Pengguna Vape Dunia (WVA) menerusi laporan bertajuk ‘Why Flavours Matter’ (Mengapa Perisa Penting) yang diterbitkan baru-baru ini menyatakan sebahagian besar pengguna menggemari produk vape disebabkan rasanya, selain ia tidak mengingatkan mereka tentang rokok biasa.

Berdasarkan laporan tersebut, ramai pengguna vape di peringkat global yang sebelum ini adalah perokok akan kembali menggunakan rokok tembakau jika mereka tidak dapat menggunakan cecair vape berperisa.

“Larangan penuh cecair vape berperisa akan mendorong 7.7 juta pengguna vape di Amerika Syarikat (AS) kembali merokok dan anggaran jumlah ini bersamaan dengan jumlah keseluruhan penduduk daripada Los Angeles dan Chicago.

“Sementara di Jerman, 1.3 juta orang mungkin kembali menghisap rokok kerana larangan perisa dalam cecair vape, manakala di Perancis, 1.6 juta perokok akan muncul semula jika larangan perisa dalam cecair vape menjadi kenyataan, hampir sama dengan jumlah penduduk Paris,” katanya.

Laporan tersebut turut menyebut Malaysia dan dianggarkan 700,000 pengguna vape Malaysia akan kembali merokok jika cecair berperisa dilarang digunakan dalam vape.

Industri rokok elektronik dianggarkan bernilai kira-kira RM2.27 bilion oleh Dewan Perniagaan Vape Malaysia. -Gambar hiasan

CCC dan WVA berpandangan tindakan melarang penggunaan cecair vape berperisa untuk mengekang kecenderungan golongan bawah umur kepada vape hanya akan memberikan kesan tidak diingini, sebaliknya mencadangkan pendekatan undang-undang digunakan untuk menyekat produk vape digunakan golongan bawah umur.

“Sebagai contoh, pihak berkuasa perlu menetapkan peraturan bagi menghukum mereka yang melanggar undang-undang dengan menjual kepada mereka yang di bawah umur secara berulang dengan hukuman yang berat.

“Peraturan mengenai perisa vape mesti mengambil kira potensi vape dalam membantu perokok berhenti merokok. CCC dan WVA percaya sebarang larangan ke atas e-cecair vape berperisa akan mengehadkan potensi penggunaan vape dalam mengurangkan kemudaratan tembakau,” katanya.

Vape terbukti merupakan alat yang kurang mendatangkan kemudaratan berbanding rokok dan berkesan dalam membantu perokok berhenti merokok.

Pada 2015, Public Health England, agensi kesihatan United Kingdom melaporkan penggunaan vape adalah 95 peratus kurang mudarat berbanding rokok tembakau dan mula mencadangkan agar perokok bertukar kepada vape.

Cecair vape boleh hadir dalam pelbagai perisa. – Gambar hiasan

Dalam pada itu, laporan Why Flavours Matter turut menyatakan larangan cecair vape berperisa berisiko menggalakkan pengguna vape beralih ke pasaran gelap dan mendorong pihak tidak bertanggungjawab membuat cecair vape di rumah tanpa pengawasan undang-undang dan menghasilkan produk tidak dikawal yang berbahaya.

Penjualan secara haram juga di luar skop cukai, menyebabkan kerajaan kehilangan hasil cukai yang sepatutnya boleh diraih.

“Di AS yang mana ada negeri tertentu telah mengharamkan vape berperisa, pengguna vape dilihat akan merentas sempadan untuk mendapatkan perisa vape pilihan mereka.

“Apabila Massachusetts mengharamkan semua produk vape berperisa, negeri berhampiran yang tidak mengenakan sekatan seperti New Hampshire dan Rhode Island telah mencatatkan peningkatan ketara dalam jualan produk berperisa serta menjana hasil cukai tambahan AS$9 juta (RM37.32 juta) bagi New Hampshire dan AS$5.7 juta (RM23.64 juta) bagi Rhode Island,” katanya. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI