YAN – Pihak Masjid Jame’ Badlishah di Pekan Yan di sini menjelaskan bahawa kubur yang didakwa tidak ‘disentuh’ lumpur dalam kejadian banjir kilat akibat fenomena aliran puing pada 18 Ogos lalu sebenarnya terletak di kawasan agak tinggi.
Gambar keadaan kubur dalam keadaan bersih dan didakwa milik seorang guru besar itu tular di Facebook sejak Isnin lalu.
Menerusi gambar sama, kelihatan kawasan tanah perkuburan di pekarangan masjid tersebut diselaputi lumpur akibat kejadian berkenaan.
Penyebaran gambar itu di media sosial menyebabkan tanah perkuburan tersebut dikunjungi orang ramai yang mahu melihat keadaan kubur berkenaan.
Imam masjid itu, Ahmad Fadzil Rukunuddin, 78, yang ditemui berkata, pihaknya terkilan dengan penyebaran gambar kubur yang didakwanya tidak benar dan boleh mencetuskan polemik berkaitan agama.
“Suka saya menjelaskan kubur yang dimaksudkan itu terletak di bahagian tanah tinggi berbanding kubur lain yang berdekatan anak sungai.
“Kubur itu juga ditimbun dengan tanah dan diikat bata di sekelilingnya oleh ahli keluarga si mati sejak dikebumikan di situ pada 18 Mei tahun lalu,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929