PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil serius kes kematian Covid-19 yang dilaporkan sebagai brought-in-dead (BID) atau mati luar hospital berikutan keadaan mangsa yang didapati merosot dalam tempoh sangat singkat.
Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sebahagian pesakit itu pada awalnya berada dalam kategori 1 (tiada gejala) dan 2 (bergejala ringan) sebelum merosot ke kategori 5 (kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan) dalam tempoh 24 jam.
Justeru beliau berkata, KKM ingin mengumumkan bahawa kawalan kendiri dalam kalangan pesakit yang kuarantin di rumah perlu dilaksanakan selain menjalani pemeriksaan segera jika mengalami kemerosoton gejala dan berdepan tanda amaran.
“Tanda amaran ini serti demam berpanjangan, kesukaran bernafas, sakit dada, tiada selera makan dan minum, kelesuan bertambah teruk dan perubahan pada status mental seperti kurang tahap sedar dan kekeliruan.
“Selain itu ialah batuk, muntah dan cirit yang semakin teruk, kurang kencing, bibir atau jari kebiruan serta ketepuan oksigen kurang 95 peratus,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Khairy Jamaluddin berkata, mereka yang mengalami gejala-gejala itu dinasihatkan agar menghubungi CAC dengan kadar segera atau talian 999 untuk kecemasan.
Katanya, mereka juga perlu mengamalkan pemantauan kendiri di rumah melalui Home Assessment Tool (HAT) sebelum mendapat arahan selanjutnya oleh Pejabat Kesihatan Daerah dan Covid-19 Assessment Centre (CAC).
“Ahli keluarga atau rakan serumah perlu prihatin dan peka terhadap keadaan dan kesihatan pesakit sepanjang pemantauan kuarantin di rumah.
“Manfaatkan teknologi komunikasi bagi memantau kesihatan kaum keluarga atau rakan yang sedang menjalani tempoh kuarantin di rumah,” katanya.
Tambahnya, KKM juga akan menegluarkan data kes BID dari segi kewarganegaraan, kumpulan umur, komorbiditi dan status vaksinasi dari semasa ke semasa. – K! ONLINE