KOTA BHARU – Sebuah kilang batik yang sudah beroperasi sejak 30 tahun lalu musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Beris Jambu, Pengkalan Chepa di sini sebentar tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, pemilik kilang terbabit, M. Zaman Yusoff, 57, dipercayai mengalami kerugian kira- kira RM500,000 apabila bangunan kilang tersebut musnah 100 peratus.
Kebakaran itu disedari oleh seorang penduduk, Wan Roslan Wan Hassan, 58, selepas terdengar letupan dari kilang batik yang terletak tidak jauh dari rumahnya.
“Sebaik terdengar letupan, saya nampak kepulan asal tebal di langit sebelum melihat api marak membakar kilang batik itu.
“Saya meminta anak menghubungi bomba manakala saya sendiri menelefon pemilik kilang tersebut untuk memaklumkan mengenai kejadian tersebut,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian.
Sementara itu, M. Zaman berkata, dia mendakwa kejadian itu berlaku berkemungkinan akibat cuaca panas sehingga menyebabkan kain putih dan lilin di dalam kilangnya terbakar.
Katanya, dia menutup kilang batik itu kira-kira pukul 3 petang tadi dan bersyukur apabila kejadian itu tidak melibatkan nyawa para pekerjanya. – K! ONLINE