IPOH – Keluarga pengawal keselamatan yang meninggal dunia selepas lapan bulan menanggung derita akibat cedera diserang lelaki dalam kejadian di sebuah kondominium di sini Disember lalu mahu kematian mangsa dibela.
Isteri S. Thavasagayam, E. Philomena, 59, berkata, perbuatan pelaku tidak berperikemanusiaan apabila tergamak bertindak kasar dengan suaminya yang sudah tua.
“Suami saya tidak bersalah, dia hanya menjalankan tugasnya. Lapan bulan dia berulang-alik ke hospital untuk rawatan sehingga terpaksa menjalani lapan pembedahan pada kepala.
“Kematian suami saya perlukan keadilan dan orang yang bertanggungjawab perlu dijatuhkan hukuman mati,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Buntong Ria di sini hari ini.
Menurut Philomena, hatinya tidak tenang dan berasa sedih serta marah setiap kali melihat rakaman kejadian di kondominium berkenaan selain hampir kemurungan melihat keadaan suaminya semasa terlantar sakit.
Philomena berkata, walaupun berasa amat terkesan dengan kematian lelaki itu, namun dia bersyukur kerana kes melibatkan suaminya diklasifikasi semula sebagai kes bunuh.
Dalam kejadian pada 29 Disember lalu, Thavasagayam, 64, cedera diserang seorang lelaki kerana tidak berpuas hati terhadap mangsa kerana menghalang anaknya daripada menggunakan kolam renang yang tidak dibenarkan buka pada masa itu.
Kelmarin, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan kes tersebut diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada hari mangsa disahkan meninggal dunia, Jumaat lalu.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929