PETALING JAYA – Kekaboo Sdn. Bhd., (Kekaboo) pengeluar tudung bawal berjenama Kekaboo, menyasarkan perolehan jualannya pada tahun ini mencecah sehingga RM25 juta menjelang akhir tahun ini berbanding RM17 juta yang direkodkan tahun sebelumnya.
Pengasas dan Pengarah Urusannya, Ahmad Tajuddin Mohamad Nor optimis mampu mencapai nilai tersebut memandangkan sehingga bulan Ogos, jualan syarikat adalah sebanyak RM18 juta.
Menurutnya, trend pembelian masyarakat secara online semakin bertambah dengan disokong oleh komitmen pengedar khususnya dropship yang kini seramai 400 orang telah membantu mempromosi serta mengukuhkan keyakinan pelanggan terhadap jenama tudung tersebut.
“Kami mengunjurkan untuk memiliki sehingga 1,000 ejen dropship di seluruh negara menjelang akhir tahun ini malah jumlah tersebut bakal meningkat disebabkan ramai yang kehilangan pekerjaan atau dikurangkan pendapatan sejak pandemik ini,” katanya dalam kenyataan.
Kekaboo merupakan satu-satunya syarikat bumiputera yang memiliki kilang pengeluarannya yang terbesar di Batu Caves, Selangor memiliki 16 mesin pencetak bagi menghasilkan tudung bawal yang ditawarkan pada harga mampu milik antara RM19 hingga RM38 sehelai.
Ahmad Tajuddin menerangkan, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah membantu melonjakkan hasil jualan apabila ramai bekerja dari rumah.
Ini dapat dilihat pada peningkatan permintaan tudung Kekaboo yang mana kekerapan pengeluaran tudung adalah antara 3,000 hingga 4,000 helai untuk setiap rekaan pada setiap minggu.
Mengulas mengenai tudung Kekaboo, Pengurus Pemasarannya, Nur Hazwani Abdul Zainal menjelaskan, tudung bawal Kekaboo menggunakan material kapas berpremium tinggi serta sifon.
Tambah beliau, selain dipadatkan dengan ciri fabrik yang tidak licin, tidak luntur warna selepas dipakai dan dibasuh beberapa kali membuatkan ia berjaya menambat hati pelanggan untuk terus setia kepada jenamanya.
“Tudung Kekaboo mudah dipakai dan dibentuk pada bahagian sengkuapnya serta terletak cantik apabila digayakan.
“Ia juga menawarkan pilihan terbaik bagi wanita bersaiz besar kerana ukuran tudungnya memberi keselesaan tanpa menampakkan aurat,” jelas beliau.