JOHOR BAHRU – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal mengadakan program bagi meraikan kejayaan mereka merangkul kejuaraan Liga Super buat kali kelapan berturut-turut pada 12 September ini.
JDT dalam satu kenyataan memaklumkan, majlis sambutan itu akan dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api dan ‘in-car viewing party’ untuk penyokong skuad Harimau Selatan.
“Sambutan tersebut yang merangkumi persembahan piala, pertunjukan khas dan bunga api akan bermula selepas perlawanan menentang Kuala Lumpur.
“JDT pada masa ini sedang berbincang dengan pihak berkuasa tempatan dan kebangsaan untuk memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP).
“SOP terbabit termasuklah kemasukan penyokong ke tempat letak kereta dan susun atur acara. Nantikan pengumuman selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.
Pada 27 Ogos lalu, JDT sah dinobatkan selaku juara Liga Super 2021 selepas menjinakkan skuad Tok Gajah 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Kemenangan tersebut menyaksikan JDT melakar sejarah baharu Liga Super apabila mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka buat lapan musim berturut-turut sejak memenanginya pertama kali pada 2014.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929