PUTRAJAYA – Datuk Saifuddin Abdullah hari ini menyarankan semua parti siasah di negara ini melaksanakan ‘gencatan senjata’ bagi meredakan ketegangan politik yang panas ketika ini.
Gesaan tersebut disuarakan beliau selaku Ahli Parlimen Indera Mahkota sebagai merujuk senario politik tanah air yang dianggap bermasalah meskipun telah bertukar kerajaan baharu.
Justeru, beliau dalam nada merayu memohon jasa semua pemimpin politik tempatan supaya mengurangkan perbalahan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dalam masa terdekat.
“Saya merasakan antara tempoh sekarang sehingga PRU itu, kita perlu masa untuk tenang dan harus ada semacam ‘gencatan senjata politik’ antara semua orang politik,” katanya yang juga Menteri Luar dalam sidang akhbar pertama selepas melaporkan diri bertugas di Wisma Putra di sini hari ini.
Gesaan beliau itu dipercayai merujuk ketidaktentuan politik negara selepas ada ‘cakap-cakap’ pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan Kabinet baharu dan dianggap kitar semula selain tekanan parti terlibat yang membayangkan mahu ‘balas dendam’ dalam usul percaya keabsahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat. – K! ONLINE