PETALING JAYA – Selepas beberapa hari meraih kejayaan luar biasa dengan mencatat jumlah jualan sebanyak RM2.16 juta untuk tudung keluarannya, Tudung Fazura, ada pihak sudah cuba mengambil kesempatan menipu orang lain.
Perkara tersebut didedahkan Fazura, 38, menerusi perkongsian dalam InstaStorynya beberapa jam lalu dengan memuat naik bukti perbuatan jahat penipu berkenaan.
Kata pelakon filem Dendam Pontianak itu, penipu itu sebenarnya sudah melakukan perbuatan jahatnya sejak beberapa bulan lalu, namun semakin mengganas sejak akhir-akhir ini.
“Dia dah ambil banyak duit orang. Dia gunakan bahan macam katalog untuk menipu dan ramai yang terpedaya. Caranya, dia pujuk pelanggan dengan mengatakan stok masih ada walaupun sebenarnya koleksi yang didakwanya itu sudah lama kehabisan stok.
“Kemudian dia minta pembeli membayar dengan cara transaksi sebelum menyekat nombor semua pelanggan yang selesai membuat bayaran,” dedahnya.
Ternyata kecewa dengan tindakan tidak bermoral wanita itu, Fazura sempat meminta pelaku supaya bertaubat dan memulangkan kembali semua wang pembeli yang ditipunya.
“Saya tak tahulah apa awak rasa bila menipu orang. Siap ada gambar konon sedang membungkus parcel. Sedangkan orang mengharapkan untuk dapat tudung itu dan pakai.
“Duit semua orang tu, ingat percuma ke. Semua orang bekerja untuk dapatkan duit. Ada yang nak beli tudung ni, semua tak dapat. Waktu-waktu macam inilah awak nak buat kerja sebegini kan.
“Taubatlah, tolonglah. Kalau ada rasa bersalah dalam hati awak, tolonglah bertaubat. Pulangkan semula duit pelanggan dan ejen-ejen saya,” katanya lagi.
Isteri kepada pelakon Fattah Amin itu turut menunjukkan wajah si pelaku, namun tidak dapat dipastikan sama ada foto tersebut adalah wajah sebenarnya ataupun dia menggunakan gambar orang lain untuk mengaburi mata semua orang.
Beberapa hari lalu, Fazura terharu apabila orang ramai memberikan sokongan terhadap tudung keluarannya sehingga berjaya terjual sebanyak 80,000 helai dalam tempoh dua jam.
Pencapaian tersebut sekali gus membantu mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19 seperti golongan wanita, ibu dan ibu tunggal yang kehilangan mata pencarian.
Ibu kepada Nur Fatima Aisya itu menarik perhatian ramai apabila menjual tudung serendah RM27 sehelai dengan niat membantu orang ramai yang terkesan kerana pandemik. – K! ONLINE