FON telinga kini menjadi antara peranti yang wajib dimiliki oleh semua orang.
Maka tidak hairanlah banyak syarikat pengeluar menghasilkan fon telinga yang dilengkapi dengan teknologi terkini untuk pilihan pengguna.
Syarikat penyedia peranti pintar terkemuka dunia, Honor juga tidak ketinggalan untuk berbuat demikian dengan melancarkan fon telinga Honor Earbuds 2 Lite.
Fon telinga itu dilengkapi dengan teknologi pembatalan hingar aktif (ANC) yang mampu mengurangkan bunyi bising di persekitaran sehingga 22 disebel.
Dengan teknologi sedemikian, ia mampu memberikan bunyi lebih jelas walaupun pengguna berada di persekitaran bising.
Pengguna tidak akan berasa terganggu ketika mendengar lagu ataupun ketika menghadiri mesyuarat secara dalam talian.
Dalam pada itu, kapasiti bateri peranti itu juga cukup memuaskan dan fon telinga itu mampu bertahan selama 32 jam dengan sekali pengecasan.
Dengan pengecasan selama 10 minit sahaja, ia sudah mencukupi untuk pengguna mendengar muzik selama empat jam.
Peranti itu juga mempunyai rekaan ergonomik dan membuat pengguna berasa sangat selesa ketika menggunakannya memandangkan ia cukup ringan.