GEORGE TOWN – Sekatan pergerakan penuh selama dua minggu dicadang dilaksanakan di negeri ini dalam tempoh terdekat bagi membendung penularan varian Delta yang dikesan mula dikesan di negeri ini.
Cadangan tersebut disuarakan secara peribadi oleh Teh Lai Heng (DAP-Komtar) yang bimbang dengan trend peningkatan kes positif Covid-19 yang meningkat secara mendadak pada masa ini terutama membabitkan varian itu.
Lai Heng berkata, mengikut data terkini setakat 29 Ogos, terdapat 40 kes varian Delta dikesan tersebar di Pulau Pinang dan langkah segera iaitu sekatan pergerakan penuh perlu dilaksanakan bagi mengelakkan sistem perubatan serta barisan hadapan di negeri ini lumpuh.
“Saya tahu ini adalah keputusan yang sukar untuk melaksanakan sekatan pergerakan penuh selama dua minggu di negeri ini.
”Tetapi langkah ini perlu segera diambil bagi memastikan Pulau Pinang dapat mengambil masa yang lebih pantas untuk melandaikan lekuk penularan Covid-19 terutama melibatkan varian Delta,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.
Kadar kes harian Covid-19 di Pulau Pinang mencecah empat angka sejak beberapa minggu lalu dan pada Sabtu lalu, kes mencecah 2,078 manakala hari ini, 1,762 kes Covid-19 dilaporkan. – K! ONLINE