PETALING JAYA – Sejarah tercipta di bumi Tokyo, Jepun apabila atlet olahraga para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli muncul rakyat Malaysia pertama berjaya mempertahankan pingat emas Sukan Paralimpik buat kali kedua berturut-turut.
Lebih manis, Ziyad memenangi pingat emas acara lontar peluru F20 Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Stadium Olimpik sebentar tadi dengan rekod dunia baharu menerusi lontaran sejauh 17.94 meter (m).
Catatan itu secara tidak langsung mengatasi rekod kebangsaan, 17.54m yang dilakukan oleh Adi Alifuddin Hussin di Palembang, Indonesia pada November 2011.
Kejayaan itu sememangnya hadiah yang cukup indah buat Malaysia yang menyambut Hari Kebangsaan ke-64 hari ini.
Pingat perak dan gangsa pula dimenangi dua atlet Ukraine, Maksym Koval dan Oleksandr Yarovyi masing-masing menerusi catatan sejauh 17.34m serta 17.30m. – K! ONLINE