BANGKOK – Seorang lelaki Myanmar di daerah Phrom Phiram, Thailand, ditahan polis kerana menembak dan membunuh rakan sekerjanya selepas dia diminta memperlahankan bunyi radio yang didengar ketika bekerja, lapor akhbar Bangkok Post semalam.
Menurut Timbalan Ketua Penyiasat Phrom Phiram, Kapten Kanapot Intaputi, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.40 malam (waktu tempatan) di sebuah bengkel membaiki kereta golf di kelab golf Silver Star.
Saksi memberitahu polis bahawa mangsa, Pongthep Phloiprasong, 46, telah meminta suspek, Te Aw, 37, untuk memperlahankan radionya kerana mendakwa bunyinya terlalu kuat dan menjengkelkan.
Suspek yang merupakan pekerja asing dari Myanmar kemudian mengambil sepucuk senapang patah dari bawah sebuah mesin pemotong rumput berhampiran dengannya lalu menembak mangsa dengan satu das tembakan.
Mangsa mengalami kecederaan parah akibat terkena tembakan dan mati selepas tiba di Hospital Phrom Phiram.
Suspek kemudiannya ditahan polis dan didakwa melakukan pembunuhan. – Agensi