KUALA LUMPUR – Seorang lelaki sanggup merempuh teman wanita sendiri dengan kereta hingga cedera demi memboloskan diri daripada diberkas polis, Khamis lalu.
Bagaimanapun tindakan lelaki tersebut melarikan diri menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan amaran.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, kejadian berlaku pukul 5 petang ketika polis menghampiri sebuah kereta yang berada dalam keadaan mencurigakan.
“Terdapat seorang wanita tempatan berada di belakang kereta itu untuk mengambil barang dari dalam bonet belakang. Sebaik menyedari kehadiran polis, suspek terus mengundurkan kereta hingga melanggar dan menggilis wanita itu.
“Polis yang berada di hadapan kereta memberi amaran agar suspek memberhentikan kenderaan, namun suspek terus memecut untuk melarikan diri.
“Tindakan itu menyebabkan pegawai polis terpaksa melepaskan tembakan amaran. Wanita berusia 20 tahun yang juga teman wanita suspek hanya mengalami kecederaan ringan dan telah ditangkap untuk siasatan lanjut,” ujarnya.
Jelasnya, bertindak di atas maklumat, pasukan polis dari JSJ, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur berjaya memberkas suspek yang berumur lebih kurang 32 tahun di Cyberjaya, semalam.
“Susulan tangkapan tersebut, suspek telah membawa pihak polis ke beberapa lokasi dan berjaya menjumpai 11 buah kereta buatan tempatan yang dilaporkan hilang di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor di antara tahun 2019 hingga 2021.
“Nilai rampasan dianggarkan lebih kurang RM130,000 dan hasil siasatan awal mendapati suspek menjual alat ganti kereta yang dicuri di media sosial,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929