LONDON – Pelumba Monster Energy Yamaha, Fabio Quartararo enggan memikirkan soal gelaran dunia MotoGP musim ini meskipun dia sedang mendahului saingan dengan kelebihan 65 mata selepas muncul juara di Grand Prix (GP) British kelmarin.
Quartararo dilihat berpeluang untuk meraih kemenangan sulung dalam kelas perdana tersebut apabila perlumbaan MotoGP kini berbaki enam pusingan sebelum menutup tirai.
Pelumba Perancis tersebut kini telah menjulang lima kemenangan dan turut berjaya meraih tiga penamat podium tempat ketiga sepanjang 12 pusingan perlumbaan.
“Sudah pasti saya tidak terlalu fokus pada perebutan kejuaraan musim ini. Tetapi, apabila anda memulakan perlumbaan di Silverstone dengan kelebihan 47 mata dan selepas itu 65 mata, sudah tentu ia adalah paling penting.
“Saya memberitahu diri saya untuk tidak memikirkan kejuaraan sekurang-kurangnya sehingga selepas perlumbaan di Misano. Saya mahu menikmatinya dan berasa seronok dengan potensi jentera Yamaha ketika ini.
“Jadi, saya akan turun ke perlumbaan seterusnya dengan motivasi terbaik dan saya sangat gembira dengan situasi ketika ini,” katanya.
Quartararo hanya perlu menamatkan saingan sekurang-kurangnya podium tempat ketiga dalam baki enam perlumbaan musim ini untuk menjulang gelaran dunia MotoGP 2021.
“Paling utama sekarang saya tidak boleh lakukan kesilapan bodoh hingga rosakkan peluang untuk muncul juara. Jika ada kesempatan meraih kemenangan, saya akan berjuang habis-habisan,” tambahnya. – AGENSI