JOHOR BAHRU – Sesi pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega MidValley Southkey hari ini dimulakan dengan semangat kemerdekaan oleh barisan sukarelawan dan petugas dengan nyanyian serta tarian zapin.
Lebih 100 petugas barisan hadapan termasuk sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (myVAC) turut bersemangat menyanyikan lagu Negaraku, Bangsa Johor dan Tanggal 31.
Penyelaras PPV Mid Valley Southkey, Haliza Khalid berkata, program yang unik itu merupakan satu bentuk penghargaan dan kejutan buat penerima vaksin yang hadir sempena hari Kemerdekaan Malaysia, hari ini.
“Ia sebagai tanda kami selaku petugas barisan hadapan menzahirkan rasa patriotik sempena Kemerdekaan Negara ke-64, hari ini. Kita tetap berusaha menyemarakkan sambutan kemerdekaan ini meskipun dalam situasi sedang mendepani cabaran pandemik Covid-19.
“Perjuangan kami di PPV ini adalah untuk memberi vaksin kepada seberapa ramai individu agar dapat mencapai sasaran komuniti berkelompok yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Sementara itu, bagi menghargai petugas barisan hadapan di PPV berkenaan, seramai 19 murid Tadika Perpaduan Taman Saujana B, Pontian telah menggembleng tenaga menghasilkan kad ucapan khas. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929