PETALING JAYA – Peralihan Lembah Klang daripada Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) kepada fasa berikutnya perlu dilakukan secara berhati-hati kerana kadar vaksinasi 80 peratus cuma melibatkan penduduk dewasa.
Pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya. Dr. Yahya Mat Arip berkata, masih terdapat golongan belum divaksinasi di Lembah Klang termasuk mereka yang berusia 12 hingga 17 tahun.
“Majoriti telah lengkap vaksinasi hanya berada di kategori 1 atau 2 (jika dijangkiti), namun masih boleh menjangkiti orang lain termasuk yang belum menerima vaksin atau belum lengkap vaksin.
“Seterusnya perkara berkaitan mereka yang telah lengkap vaksinasi, tetapi dijangkiti semula perlu juga diberi perhatian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi bayangan Lembah Klang akan beralih kepada fasa seterusnya selepas kadar vaksinasi sudah melebihi 80 peratus.
Yahya berkata, sekiranya jangkitan berlaku kepada yang belum menerima vaksin atau belum lengkap vaksin, risiko mereka berada pada kategori 3, 4, 5 dan kematian adalah tinggi.
Justeru, katanya, semua pihak perlu memastikan mereka yang telah lengkap vaksin tidak menjadi punca penularan jangkitan kepada yang belum menerima vaksin atau belum lengkap vaksinasi.
Sehubungan itu, katanya, peralihan Lembah Klang ke Fasa 2 berdasarkan keperluan ekonomi adalah wajar, namun dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.
Kata beliau, pihak peniaga perlu memainkan peranan dalam memastikan pematuhan SOP dalam premis mereka dan anggota masyarakat juga harus memainkan peranan sama.
“Kita semua sudah merasai pandemik fatique dan sudah pasti tidak mahu perkara ini berterusan,” katanya.
Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pakar Epidemiologi Jabatan Perubatan Kesihatan & Pencegahan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof. Dr. Noran Naqiah Hairi berkata, beliau agak gusar dengan cadangan peralihan Lembah Klang ke Fasa 2 PPN.
Menurutnya, data kematian akibat Covid-19 dan kematian brought-in-dead (BID) termasuk dalam golongan muda dan mereka yang tiada sejarah penyakit masih membimbangkan.
Justeru, katanya, sebarang langkah peralihan Lembah Klang ke Fasa 2 PPN perlu dilakukan secara berhati-hati dan melihat penurunan yang lebih berterusan terutama pada bilangan kes dan kematian di Lembah Klang.
“Perlu juga melihat data mengapa BID berlaku dan apakah sebab utama. Kenal pasti sebab dan siapakah yang tergolong dalam kumpulan BID ini.
“Pastikan juga komuniti pendatang termasuk tanpa dokumen juga telah divaksinasi. Jangkitan dalam kalangan mereka ini boleh menjadi sumber jangkitan berterusan jika tidak diberi vaksinasi,” katanya. -K! ONLINE