PETALING JAYA – Sejak pemergian Allahyarham Siti Sarah pada 9 Ogos lalu, setiap gelagat keluarga Shuib, terutama tiga anaknya pasti akan mendapat perhatian umum dalam media sosial.
Paling menarik, terdapat netizen yang mencipta satu gelaran The Utma buat empat cahaya mata Shuib dan Siti Sarah.
Gelaran tersebut diungkapkan oleh pengguna YouTube @Fatimah Johari yang menggabungkan huruf/huruf pangkal nama Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang kini berusia sebulan.
“Selepas ini sudah ada nama kumpulan untuk anak-anak Shuib iaitu ‘The Utma’ (Uwais, Talita, Martin dan Ayash),” tulisnya dalam ruangan komen video YouTube saluran Shuib Channel hari ini.
Meninjau komen lain, terdapat juga beberapa netizen yang membayangkan Martin mewarisi bakat melawak seperti bapanya.
Ramalan itu tercetus susulan Martin dilihat membuat aksi lucu dengan menari tarian Michael Jackson dalam video tersebut.
“Sudah tunjuk bakat dia (Martin) di depan Shuib, boleh membuat lawak.
“Insya-Allah satu hari nanti kalau dia sudah besar, boleh ganti bapanya menjadi seorang pelawak tanah air, Amin,” tulis netizen bernama @Muhd Muhd.
Dalam pada itu, rata-rata netizen melahirkan rasa teruja dan tidak sabar untuk menanti kepulangan Ayash ke pangkuan bapanya tidak lama lagi.
Ayash yang dilahirkan pramatang pada 7 Ogos kini masih dirawat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM) dan dijangka dibenarkan pulang ke rumah dalam tempoh dua minggu lagi.
Untuk rekod, Siti Sarah Raissuddin, 37, menghembuskan nafas terakhir pada 9 Ogos lalu di HCTM akibat Covid-19.
Jenazah Allahyarham kini bersemadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak. – K! ONLINE