BERA – Keluarga seorang anggota tentera yang hilang dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Pahang ketika menjalani latihan penyusupan bagi Eksesais Para Predator Siri 1/2021 kelmarin menaruh harapan besar agar anak kedua daripada empat beradik itu ditemui dalam keadaan selamat.
Adik mangsa, Noor Suhada Mohamad Isa, 24, berkata, kali terakhir dia sekeluarga bertemu abangnya, Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa, 27, pada Januari lalu ketika anggota tentera itu pulang ke kampung di Kedah.
Katanya, abangnya yang telah berkahwin dan mempunyai seorang anak tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda pelik.
“Abang memang ada beritahu mengenai latihan di Pahang, namun tiada perubahan sikap yang ditunjukkan malah dia ceria seperti biasa.
“Dia seorang yang penyayang dan sangat disenangi kerana sikapnya yang suka membantu orang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.40 petang itu, Mohamad Azrin yang merupakan anggota Tinjau daripada Kompeni Pandura (Para) dikatakan sedang melaksanakan Fasa Latihan Taktikal Menyeberangi Sungai di sekitar kawasan Kampung Batu Bor.
Difahamkan, Mohamad Azrin yang berasal dari Kedah dilaporkan terjatuh ke dalam sungai ketika melakukan aktiviti berkenaan.
Eksesais Para Predator merupakan salah satu eksesais yang dilaksanakan Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui 10 Briged (Para) yang berpengkalan di Kem Terendak Melaka.
Eksesasais berskala besar selama 14 hari itu melibatkan seramai 1,894 anggota tentera dengan 151 aset logistik TDM.
Sementara itu, TDM dalam satu kenyataan memberitahu, susulan kejadian yang menimpa Mohamad Azrin, pihaknya telah menggerakkan anggota bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR), namun tiada penemuan sehingga kini.
“Op SAR bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 2 Pahang telah dilaksanakan di tempat kejadian semalam kira-kira pukul 4.50 petang.
“Op SAR ini turut juga dibantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang kampung di kawasan di mana mangsa kali terakhir dilihat,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurut TDM, operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan sementara kira-kira pukul 7 petang kelmarin kerana keadaan cuaca yang semakin gelap dan Op SAR disambung pada semalam.
Jelasnya, sebarang perkembangan tentang kejadian tersebut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dan berharap masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu misi pencarian serta bagi menjaga perasaan waris mangsa yang terlibat,” ujar TDM. – K! ONLINE