WASHINGTON – Satu kajian mendapati bahawa misi manusia ke Planet Marikh merupakan sesuatu yang selamat sekiranya ia berlaku dalam tempoh kurang daripada empat tahun, lapor akhbar Daily Star semalam.
Planet merah itu disebut-sebut oleh pakar dan jutawan syarikat aeroangkasa Space X, Elon Musk sebagai mempunyai potensi untuk didiami manusia di masa akan datang dengan beberapa negara termasuk China dan Emiriyah Arab Bersatu di samping Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) menghantar misi penerokaan tanpa manusia ke Marikh tahun ini.
Dalam kajian terbaharu bertajuk ‘Beating 1 Sivert: Optimal Radiation Shielding of Astronauts on a Mission to Mars’ yang disiarkan dalam jurnal Space Weather, saintis-saintis berkata, kapal angkasa yang berat dan masa yang diambil untuk pelancaran boleh menimbulkan kesulitan teknologi bagi misi manusia ke Marikh.
Mereka memberitahu bahawa misi manusia ke Planet Marikh yang melebihi tempoh empat tahun akan menyebabkan angkasawan terdedah kepada ‘jumlah radiasi yang sangat berbahaya’.
Menurut saintis University California Los Angeles (UCLA), Institut Teknologi Massachusetts (MIT), Institut Sains dan Teknologi Skolkovo, Moscow dan Pusat Penyelidikan Geosains Jerman, jika misi sejauh 480 juta kilometer itu dilakukan dalam tempoh kurang empat tahun, ia boleh berjaya.
Menurut ahli geofizik dan pengarang bersama kajian tersebut, Yuri Shprits, purata penerbangan ke Marikh mengambil masa selama sembilan bulan.
Bergantung kepada masa pelancaran dan bahan bakar yang ada, dapat diandaikan bahawa misi manusia ke planet tersebut sebelum kembali semula ke Bumi boleh berlaku dalam tempoh masa kurang dua tahun.
Manusia boleh melakukan pengembaraan dengan selamat ke Marikh dan kembali semula ke Bumi dengan syarat kapal angkasa mempunyai perisai yang mencukupi serta perjalanan tersebut mengambil masa yang lebih pendek daripada empat tahun.
Pasukan itu juga menentukan waktu terbaik untuk pesawat meninggalkan Bumi adalah ketika aktiviti matahari berada pada tahap kemucaknya yang dikenali sebagai solar maximum.
Menurut NASA, solar maximum seterusnya dijangka akan berlaku sekitar Julai 2025. – Agensi