TUMPAT – Seorang penyeludup bertindak lari meninggalkan kereta dipandunya yang membawa 18 buah tong berisi 540 liter petrol selepas diserbu oleh anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan di Pengkalan Kubor di sini semalam.
Serbuan pukul 8 malam itu dijalankan menerusi operasi bersepadu dengan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Pengkalan Kubor membabitkan rampasan bahan api bernilai RM1,100.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, semasa melakukan rondaan, pihaknya telah mengesan pergerakan sebuah kereta jenis Proton Saga yang memunggah tong minyak dari stesen minyak berhampiran sempadan negara.
Menurutnya, apabila melihat pergerakan itu, pasukan berkenaan telah bertindak menahan kereta tersebut untuk melakukan pemeriksaaan.
“Bagaimanapun, pemandunya telah bertindak melarikan diri sebaik sahaja menyedari kegiatannya itu dihidu oleh anggota penguat kuasa.
“Pemeriksaan ke atas kereta itu telah menjumpai 18 tong berisi petrol yang dipercayai mahu diseludup ke negara jiran melalui pangkalan haram,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, kes disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929