ROTTERDAM, BELANDA – Seekor kucing ditemui terselamat selepas ditinggalkan bersendirian di dalam sebuah rumah kosong selama 52 hari dengan hanya memakan kepingan kertas, lapor akhbar Daily Star semalam.
Kucing yang dinamakan Finn itu ditemui oleh seorang pembeli rumah yang ingin memasuki rumah baharunya itu.
Haiwan tersebut kemudiannya dibawa menemui doktor haiwan, dan hasil pemeriksaan mendapati, perutnya dipenuhi dengan kertas yang dimakan akibat terdesak.
Menurut Ketua Perlindungan Haiwan Belanda, Dik Nagtegaal, Finn buat masa ini enggan berada di samping manusia.
“Finn amat kurus ketika ia ditemui di rumah tersebut, namun kini telah sihat.
“Berkemungkinan terdapat paip bocor di mana-mana yang membolehkannya untuk minum air.
“Ia amat sedih dengan apa yang telah dilaluinya. Jadi, kami akan mencari seorang pemilik yang sesuai dengannya,” kata Nagtegaal.
Setakat ini, polis masih mencari pemilik lama Finn, yang berkemungkinan berdepan dengan tuduhan kekejaman terhadap haiwan.
Selain itu, polis juga tidak dapat memastikan bagaimana kucing itu boleh berada di dalam rumah kosong tersebut, selain tidak menolak kemungkinan bahawa ia dibuang oleh pemiliknya di situ tanpa sebarang makanan dan minuman. – Agensi