BAGI mengelakkan orang ramai melakukan pergerakan rentas daerah dan negeri sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu sehingga bertukar kepada Pelan Pemulihan Negara berfasa, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengadakan banyak sekatan jalan raya (SJR) di lokasi-lokasi strategik seluruh negara.
Tindakan itu dibuat susulan peningkatan jumlah kes jangkitan Covid-19 setiap hari hingga mencecah lebih 20,000 kes pada masa kini.
Dari satu sudut, SJR dilihat perlu dan penting dilaksanakan bagi mencegah orang yang tidak sepatutnya merentas daerah atau negeri berbuat demikian bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 yang semakin mengganas di kala ini.
Cuma, ketika ini banyak sektor dan syarikat kini membenarkan ramai pekerja datang ke pejabat berbanding melakukan rutin bekerja dari rumah seperti sebelum ini.
Jadi diharapkan pihak berkenaan dapat mempercepatkan urusan di SJR bagi mengelakkan kenderaan bersusun beratur menunggu giliran untuk melepasinya.
Mereka bukan mahu merentas kawasan sesuka hati, tetapi perlu melunaskan tanggungjawab bekerja di pejabat demi mencari rezeki buat keluarga tercinta.
Seorang rakan baru-baru ini berkongsi pengalaman melalui satu SJR di ibu negara ketika mahu pulang ke rumah kira-kira pukul 9 malam selepas penat bekerja seharian.
Menurutnya, dia memahami tugas anggota barisan hadapan yang berdiri di SJR dan juga bekerja tanpa menghiraukan penat demi mencari rezeki buat keluarga.
Tetapi kadangkala ada sesuatu yang dia agak terkilan dengan perjalanan operasi di situ.
“Saya tidak faham kenapa pada masa tertentu di SJR tersebut yang sepatutnya dibuka dua laluan bagi melancarkan perjalanan kenderaan, tetapi hanya satu laluan dibenarkan kenderaan melaluinya.
“Ini menyebabkan kesesakan yang agak panjang. Bagi saya, kalau boleh janganlah ditutup satu laluan lagi satu memandangkan pada masa itu masih awal, baru pukul 9 malam.
“Ia adalah waktu pulang kerja sebahagian mereka yang bekerja di sektor swasta,” ujarnya sambil mengharapkan selepas ini ada perubahan dalam perkara berkenaan.
Itu antara luahan hati seorang pengguna jalan raya yang setiap hari tidak ada pilihan lain kecuali perlu melalui SJR untuk ke pejabat.
Dia bukanlah merungut, cuma meminta dipermudahkan urusan memandangkan kadangkala jarak untuk melepasi SJR cuma beberapa ratus meter, tetapi kesesakan hampir setengah jam lamanya.
Penulis sendiri pernah mempunyai pengalaman perit menempuh kesesakan hampir lima jam untuk ke tempat kerja ketika pertama kali SJR diadakan di kawasan tersebut.
Bayangkan masa lima jam yang dibazirkan dalam kesesakan jalan raya itu membolehkan anda memandu kereta dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang. -K! ONLINE