STAVELOT, Belgium – Juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton menuntut Formula Satu (F1) untuk mengembalikan duit kepada penonton yang hadir ke Litar Spa-Francorchamps untuk menyaksikan Grand Prix (GP) Belgium 2021 kelmarin.
Pelumba Britain itu menegaskan, penonton layak mendapatkan duit mereka semula selepas menunggu berjam-jam di luar, dalam keadaan angin sejuk dan hujan semata-mata ingin menyaksikan perlumbaan tersebut.
GP Belgium dihentikan apabila saingan itu hanya berlangsung untuk dua pusingan akibat hujan lebat yang menghalang perlumbaan di litar Spa-Francorchamps diteruskan.
Lebih menarik, pelumba Red Bull, Max Verstappen diisytiharkan pemenang berdasarkan kedudukan petak dan George Russell (Williams) tempat kedua manakala Hamilton tempat ketiga.
Hamilton kini mendahului Verstappen dalam perebutan gelaran dunia dengan perbezaan tiga mata selepas mengutip 202.5, manakala Verstappen 199.5 mata.
“Saya mohon maaf kepada peminat yang datang hari ini. Bukan salah siapa-siapa kerana ia melibatkan cuaca. Mereka setia kekal di luar sana menanti sama ada perlumbaan ini diteruskan atau tidak.
“Oleh kerana setiap orang mendapat semula wang masing-masing, saya rasa peminat juga perlu mendapatkan wang mereka kerana mereka tidak dapat melihat apa yang mereka harapkan.
“Sayangnya tidak dapat meneruskan perlumbaan hari ini. Saya suka berlumba dalam hujan tapi hari ini berbeza dan berbahaya,” katanya. – AGENSI