PUTRAJAYA – Atlet paralimpik negara yang meraih pingat pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 tetap akan menerima imbuhan yang ditetapkan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam).
Perkara itu diumumkan sendiri Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu apabila menegaskan, wira-wira negara yang sedang berjuang dan meraih pingat pada temasya Paralimpik Tokyo tetap akan menerima ganjaran.
Di bawah Shakam, atlet yang meraih pingat emas akan menerima RM1 juta selain pencen bernilai RM5,000 sebulan. Pingat perak pula akan membawa pulang RM300,000 dan gangsa meraih RM100,0000.
“Tentunya saya percaya bila kerajaan telah menetapkan satu dasar, kita akan terus ikut apa yang kita telah tetapkan. Kita ucapkan tahniah kerana yang penting kita beri ganjaran kepada atlet para di atas usaha yang telah mereka buat.
“Bagi saya kejayaan mengharumkan negara itu adalah kejayaan jauh lebih besar daripada ganjaran yang kita berikan.
“Ganjaran ini juga merupakan pembakar semangat bukan kepada para atlet yang sedang bertarung di Tokyo tetapi juga kepada semua rakyat. Bila kita mengharumkan nama negara, ia jauh lebih besar maknanya kepada kita semua.
“Itu yang kerajaan harapkan daripada ganjaran yang kita berikan. Bagi saya, setakat ini tidak nampak jumlah ganjaran itu akan diturunkan malah kita harap agar lebih ramai atlet berjaya dan mendapatkan ganjaran tersebut,” katanya pada sidang akhbar pertamanya sebagai Menteri Belia dan Sukan di Menarai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) semalam.
Ketika ini, kontinjen paralimpik negara tampil cemerlang di Tokyo apabila berjaya meraih satu pingat emas dan perak menerusi atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin dan Jong Yee Khie. – K! ONLINE