PETALING JAYA – Sambutan Hari Kebangsaan 2021 yang diadakan di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya mencipta kelainan tersendiri apabila memaparkan penggunaan elemen teknologi terkini berkonsepkan Mix Reality dengan menggabungkan penerbitan fizikal dan juga interaktif.
Menariknya, penggunaan elemen Mix Reality itu bukan sahaja memaparkan penerbitan secara fizikal, malah menggabungkannya bersama teknologi Augmented Reality dan Extended Reality untuk paparan lebih menarik kepada penonton.
Sambutan bertemakan Malaysia Prihatin pada tahun ini turut diadakan menggunakan konsep terbuka, terkawal, dan berskala kecil selain penglibatan fizikal terhad tanpa kehadiran orang awam di lokasi bagi mengelakkan penularan Covid-19.
Pengisian sambutan pada tahun ini juga lebih terhad di mana hanya empat persembahan dipersembahkan melibatkan persembahan Drumline Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Persembahan Kawad Senyap Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Persembahan Pancaragam Gabungan Badan Beruniform dan Pertunjukan Udara daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa tiba di Dataran Pahlawan pada pukul 7.45 pagi sebelum diikuti dengan ketibaan Menteri-Menteri Kanan dan Jemaah Menteri yang lain.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hanya menyertai Sambutan Hari Kebangsaan 2021 secara maya daripada rumah berikutan masih menjalani kuarantin kendiri. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929