KUALA LUMPUR – Sindiket penipuan jualan barangan elektronik secara online melibatkan kerugian RM153,759 tumpas dengan penahanan dua wanita, pada 9 Ogos lalu.
Suspek yang berusia 32 dan 53 tahun itu disyaki menjadi dalang utama dikatakan menipu mangsa dengan menggunakan akaun Instagram beauty_saranghae.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamaruddin Md Din berkata, setakat ini, pihaknya menyiasat 64 kes penipuan menggunakan akaun Instagram berkenaan yang aktif di Pulau Pinang.
“Instagram yang menggunakan nama beauty_saranghae itu menggunakan modus operandi dengan mengiklankan pelbagai barang elektronik pada harga yang lebih murah daripada pasaran.
“Pembeli yang berminat diarahkan untuk membuat bayaran ke dalam akaun bank yang diberikan, bagaimanapun setelah bayaran dibuat, barangan dijanjikan tidak diterima,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, kedua-dua suspek warga tempatan itu direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.
Dalam perkembangan sama, menurut beliau, JSJK menyiasat 15,785 kes penipuan penjualan dalam talian atau e-dagang membabitkan kerugian RM110 juta bermula tempoh 2019 hingga semalam.
“Sebanyak 3,512 kes dicatatkan pada 2019 dengan kerugian melibatkan RM28 juta manakala tahun lalu pula 5,846 kes membabitkan kerugian RM41 juta.
“Bagi tempoh awal Januari lalu hingga semalam, kita siasat 6,428 kes dengan kerugian RM41 juta,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929