fbpx

Chalet dibina atas tanah rizab sungai dinilai semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi Md. Nor

YAN – Kerajaan Negeri Kedah akan membuat penilaian semula chalet-chalet terjejas banjir kilat akibat fenomena aliran puing di Gunung Jerai kerana ada yang dibina di atas tanah rizab sungai tanpa mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, sebilangan chalet telah dibina setelah sekian lama di situ dan ia menjadi salah satu isu jangka masa panjang yang perlu diselesaikan kerajaan negeri.

“Banyak struktur yang rosak tidak boleh dibaik pulih contohnya chalet dekat sungai. Sebelum nak bagi pampasan kena tentukan tanah ada geran dan dapat kebenaran serta kelulusan Majlis Daerah Yan atau tidak kerana kita ada undang-undang.

“Bagi pembinaan semula bangunan (chalet), ia perlu ditentukan terlebih dahulu sama ada pengusaha ada geran dan kebenaran (beroperasi),” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Operasi Bencana Yan Perikatan Nasional di Kampung Acheh di sini hari ini.

Katanya, kelulusan Majlis Daerah Yan dalam pengoperasian chalet penting kerana ia bukan sahaja melibatkan isu keselamatan pengusaha tetapi juga pengunjung.

“Kejadian baru-baru ini berlaku dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kita tidak dapat bayangkan jika ia berlaku luar waktu PKP dengan kawasan itu mungkin dipenuhi pengunjung,” ujarnya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI