SEBERANG PERAI – Jiran kepada kerani wanita yang menjadi mangsa rogol, liwat dan bunuh di rumahnya di Taman Seruling Emas, Nibong Tebal di sini, Sabtu lalu mendakwa ada terserempak dengan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sebelum kejadian itu terbongkar dengan penemuan mayat mangsa.
Menurut jiran lelaki berusia 60-an itu, suspek juga kelihatan tergesa-gesa sebelum tiba-tiba menegurnya dengan memberi alasan mahu membersihkan rumah mangsa.
“Saya tidak kenal lelaki itu, tetapi dia kelihatan sangat panik selepas nampak saya. Dia juga beritahu tujuannya datang ke lokasi itu adalah untuk membersihkan rumah mangsa.
“Saya jadi terkejut kerana saya tak tanya apa-apapun kepadanya. Saya kemudian beritahu agar dia maklumkan sendiri perkara itu kepada tuan rumah (mangsa).
“Selepas itu, saya terus beredar dengan memandu kenderaan keluar dari rumah,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Taman Seruling Emas, Nibong Tebal di sini semalam.
Menurutnya, dia hanya menyedari mengenai kejadian yang menimpa mangsa selepas pulang ke rumah dan melihat ramai polis berada di pekarangan rumah jirannya.
Terdahulu, Kosmo! semalam melaporkan seorang wanita berusia 40 tahun ditemui mati dalam keadaan tragis apabila mayatnya disorok di bawah katil selepas dirogol dan diliwat sebelum dibunuh di sebuah rumah di Taman Seruling Emas, Nibong Tebal di sini Sabtu lalu.
Siasatan awal polis terhadap suspek lelaki berusia 29 tahun yang ditangkap selepas itu mendapati, dia mengaku telah melakukan perbuatan itu ke atas mangsa dengan memecah masuk melalui tingkap belakang rumah kira-kira pukul 2 pagi.
Suspek turut mendakwa meliwat dan merogol mangsa sebelum menyumbat mulutnya dengan seluar dalam serta menekup mulut wanita itu sehingga mati.
Difahamkan, mangsa yang bekerja sebagai kerani kedai perabot tinggal di rumah berkenaan bersendirian sejak kira-kira sepuluh tahun lalu.
Mengulas mengenai kehidupan mangsa, jiran wanita itu memaklumkan bahawa mangsa merupakan seorang yang peramah dan tidak lokek.
“Saya tidak mengenalinya secara peribadi biarpun kami telah berjiran sejak kira-kira sepuluh tahun lalu.
“Bagaimanapun, kami akan bertegur sapa setiap kali berjumpa.
“Dia seorang yang peramah dan gemar menanam pokok di halaman rumah selain selesa berbual dengan isteri saya,” katanya.
Beliau berkata, pada sebelah pagi hari kejadian, anaknya memaklumkan ada melihat sebuah motosikal di belakang rumah mangsa, namun tidak mengesyaki apa-apa.
“Saya juga mendapati tingkap di bahagian belakang rumah saya seolah-olah ada kesan umpil tetapi tidak berjaya dibuka. Namun, saya tidak pasti sama ada ia perbuatan orang lain atau ada kaitan dengan suspek.
“Selain itu, bahagian tingkap belakang rumah mangsa juga dilihat terbuka,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian itu, manakala suspek direman tujuh hari bermula kelmarin. -K! ONLINE