JOHOR BAHRU – Keseronokan sembilan remaja mempamerkan aksi-aksi bahaya dan lagak ngeri menunggang motosikal di jalan awam sekitar bandar raya ini mengundang padah apabila mereka antara 42 individu ditahan dalam Ops Mabuk dan Ops Samseng Jalanan hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Superintendan M. Kumarasan berkata, dalam operasi bermula 11 malam semalam itu, sembilan remaja yang ditahan itu berusia antara 16 hingga 20 tahun.
Menurutnya, sejumlah 305 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan menerusi operasi sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negeri ini.
“Menerusi Ops Mabuk yang dijalankan, lima individu berusia 30 hingga 52 tahun ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang dibenarkan di bawah Sekaywn 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Bagi Ops Samseng Jalanan (OSJ) pula, sembilan individu yang berumur antara 16 hingga 20 tahun yang leka melakukan aksi-aksi bahaya dan lagak ngeri di jalan awam yang mana boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan orang awam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Kumarasan berkata, selain itu, seramai 28 individu ditahan dan dikenakan tindakan kompaun dibawah kesalahan Perntah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Jelasnya, turut disita 30 buah kenderaan pelbagai jenama selain sebanyak 305 keping saman POL.257 telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Beliau mengingatkan supaya orang awam terus patuh pada arahan kerajaan dan prosedur operasi standard (SOP) kerana negeri Johor masih berada di Fasa 1 PKP 3.0.
“Jangan cemari sambutan Hari Kemerdekaan dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral yang boleh menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929