PETALING JAYA – Pelakon Liyana Jasmay mengakui selesa menjadi dirinya yang sebenar dan tidak perlu menggunakan‘filter’ untuk membuatkan kulit atau wajahnya kelihatan lebih cantik sebelum memuat naik gambar dalam laman sosial.
Ujar Liyana, sebagai manusia biasa dia sedar bahawa tiada siapa pun manusia di dunia ini yang dilahirkan sempurna sehingga menjadikan mereka berasa rendah diri.
Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Liyana mendakwa sesetengah individu sanggup mengubah suai gambar mereka sebelum dikongsikan dalam media sosial untuk menjadikan mereka kelihatan lebih cantik.
“Kadang-kadang kita nak letak ‘filter’ dalam media sosial sebab nak tunjuk pada orang lain bahawa kita memiliki kulit yang paling cantik, licin dan sempurna.
“Tapi bila orang jumpa dekat luar, orang terkejut rupanya lain berbanding gambar dalam Instagram. Saya nak beritahu adik-adik dan gadis-gadis di luar sana, tidak perlu takut kalau ada jerawat atau kulit terbakar (sunburn). Sebab kita semua manusia biasa,” ujarnya.
Kata pelakon filem Papadom itu lagi, dia yakin tiada seorang pun manusia yang dilahirkan sempurna. Jadi dia menasihati orang ramai supaya tidak tertekan dengan kulit orang lain yang lebih cantik berbanding kulit sendiri.
“Kita semua tidak sempurna. Jauh daripada kesempurnaan. Jangan tertekan tengok kulit orang lain, kehidupan orang lain sehingga rasa kehidupan sendiri tidak seronok.
“Sebab 99.9 peratus apa yang kita kongsikan dalam media sosial adalah semata-mata untuk orang lain melihatnya. Jadi jangan terlalu obses. Saya sarankan untuk semua wanita yang mengikuti saya dalam media sosial dan baca penulisan say aini supaya menghargai kecantikan diri sendiri,” jelasnya.
Jelas Liyana, setiap manusia dilahirkan dengan kecantikan mereka yang tersendiri dan mereka seharusnya menghargai kurniaan yang diberikan selain tidak perlu berasa takut untuk memperlihatkan diri sendiri.
Dalam hantaran itu juga, Liyana turut berkongsi foto dia bersama ibunya yang diambil tanpa menggunakan sebarang solekan.
“Saya tidak memakai sebarang solekan selain daripada krim penghalang sinar matahari (sunblock). Gambar di sebelahnya gambar saya memakai solekan tetapi tanpa ‘filter’.
“Saya ada jerawat dan kadangkala akan mengalaminya (masalah kulit). Warna kulit saya tidak sekata. Tapi tidak mengapa kerana itu bukan masalah dalam hidup saya. Ada banyak lagi perkara yang perlu saya lihat,” katanya.
Pelakon berusia 33 tahun itu turut meninggalkan pesanan untuk semua gadis supaya berbangga dengan kecantikan yang dimiliki dengan menghargai diri sendiri. – K! ONLINE