JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah supaya Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr. Aman Rabu menghadap baginda hari ini.
Tunku Ismail bertitah demikian bagi membincangkan dakwaan berhubung satu laporan mengenai kekurangan vaksin dan pembatalan janji temu untuk vaksinasi.
“Saya telah menitahkan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr. Aman Rabu bagi mengadap esok (hari ini).
“Saya juga akan berhubung dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, mengenai satu laporan yang saya terima mengenai kekurangan vaksin dan pembatalan temu janji untuk vaksinasi,”titahnya dalam laman Facebook rasmi baginda.
Tunku Ismail juga akan membangkitkan mengenai isu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Educity dan program vaksinasi untuk pekerja-pekerja kilang.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan mengarahkan supaya kadar vaksinasi di enam negeri ditingkatkan melebihi 50 peratus menjelang hujung bulan depan.
Perdana Menteri berkata, negeri itu terdiri Terengganu, Perak, Johor, Kelantan, Kedah dan Sabah yang masih mencatatkan kadar pemberian vaksin di bawah 50 peratus setakat ini.
Untuk rekod, hanya 46.1 peratus penduduk Johor sudah menerima dos lengkap vaksin, manakala 76.3 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, semalam.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929