PULAU MERRITT, FLORIDA – Syarikat SpaceX melancarkan misi bekalan semula kargo ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang membawa pelbagai jenis barangan untuk tujuan eksperimen serta makanan segar, lapor laman berita United Press International semalam.
Roket Falcon 9 yang berlepas dari Pusat Angkasa Lepas Kennedy di Florida kira-kira pukul 3 pagi (waktu tempatan) itu membawa sebuah kapsul Dragon yang diisi dengan bekalan seberat 2,177 kilogram dan terdiri daripada pelbagai barangan termasuk makanan segar.
Antara yang ‘dikirim’ kepada angkasawan-angkasawan ISS adalah aiskrim, buah lemon dan avokado yang tidak dinyatakan sama ada dibawa dari California atau Florida serta sama ada akan digunakan untuk menghasilkan ‘guacamole’.
Selain itu, pertubuhan Girls Scout turut menghantar beberapa ekor semut bersama udang air masin dan tumbuh-tumbuhan bagi tujuan eksperimen.
Wilayah Puerto Rico turut menghantar satelit pertamanya ke angkasa lepas yang digelar Puerto Rico Cubesat Nano ROcks 2, untuk mengkaji bagaimana bahan-bahan berkumpul di ruang angkasa dan membentuk planet.
Sementara itu, sebuah lengan robotik yang dibangunkan oleh syarikat GITAI dari Jepun turut dihantar yang akan membolehkan angkasawan melakukan kerja-kerja ketepatan menyerupai robot industri di Bumi. – Agensi