fbpx

SOP untuk anak seni tak logik, Finas tak membantu – Nam Ron

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAM RON

PETALING JAYA – “Duit simpanan kalau kita korek hari-hari pun memang akan susut.”

Demikian luahan hati pelakon Nam Ron atau nama lengkapnya, Shahili Abdan, 52, yang menganggap kelonggaran membenarkan pengambaran tertangguh tidak adil dan tidak memungkinkan penggiat seni untuk kembali bekerja seperti biasa.

Kata pelakon filem 18 Puasa Di Kampong Pisang itu, buat masa sekarang, dia masih mampu bertahan dengan wang simpanan yang ada namun tidak pasti apa dan bagaimana nasibnya hari-hari mendatang andai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terus bersambung.

“Secara peribadi, masih boleh bertahan (dengan duit simpanan yang ada). Tapi, macam orang cakap, bukit ditarah setiap hari pasti akan rata. Begitu juga dengan duit simpanan saya.

“Kerja sebagai anak seni dalam industri kreatif ini kebanyakan waktu kami bekerja dalam pasukan. Sebelum ini pun, kami (orang seni) memang kerja dan patuh dengan prosedur operasi standard (SOP).

“Jadi, apabila syarat untuk bekerja (menjalani penggambaran) pun macam tak memungkinkan saya dan kawan-kawan lain untuk mencari rezeki, saya pun tak tahu macam mana nasib kami.

“Dah nak hujung tahun, kalau PKP masih sambung, saya mungkin akan tukar kerjaya. Bukan lagi sebagai seorang anak seni,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Ujar pengarah filem One Two Jaga itu juga, pada waktu yang cukup mencabar disebabkan pandemik Covid-19, suka atau tidak, semua orang memerlukan hiburan sebagai ‘ubat’ dan eskapisme daripada permasalahan wabak berbahaya berkenaan.

“Suka atau tidak, orang memerlukan hiburan untuk melalui pandemik Covid-19. Boleh diumpamakan sebagai ubat dan eskapisme daripada segala tekanan dan permasalahan dunia sekarang dek virus itu.

“Orang cakap, tak perlu pun hiburan baik pergi masjid, berdoa dan berzikir. Benar, itu tidak salah tapi sebagai manusia, kita memang perlukan hiburan untuk mengharungi fasa yang sangat mencabar dalam hidup sekarang,” ujarnya.

Ditebak pertanyaan apa yang menyebabkan dirinya merasakan SOP untuk mereka bergelar anak seni tidak logik, jawab Nam Ron: “Macam keluar berjalan-jalan tak bawa kaki. Isunya sekarang, banyak industri lain dah dibenarkan beroperasi namun tidak buat industri seni.

“Industri ini dah dibenarkan beroperasi tapi macam tak memungkinkan kami untuk bekerja dengan adil seperti industri lain.”

Nam Ron berkata, syarat yang dimaklumkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) tidak membantu keseluruhan anak seni yang sudah lama hilang punca pendapatan.

Terdahulu, pada 21 Julai lalu, kerajaan menetapkan hanya produksi drama, iklan dan dokumentari yang tertangguh penggambaran kerana pelaksanaan PKP bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan untuk meneruskan penggambaran pada Fasa Dua.

Syarat lain adalah aktiviti penggambaran hanya boleh dijalankan di negeri yang berada bawah status Fasa Dua dan melibatkan lokasi atau premis penggambaran luar studio sahaja.

Sehubungan itu, Nam Ron berharap kerajaan membenarkan aktiviti penggambaran dijalankan seperti biasa memandangkan ramai penggiat seni sudah mempunyai menerima vaksinasi lengkap. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI